MENUBUHKAN KESATUAN MELAYU Penghulu Abu Bakar

Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau memainkan peranan yang amat penting ketika era selepas perang Dunia untuk mengumpulkan dan menyatukan orang-orang Melayu sebelum peranan ini dimainkan oleh USNO. Penghulu Abu Bakar adalah Pengerusi PKMT yang pertama pada tahun 1946. Selain itu, PKMT juga sentiasa bekerjasama dengan PIT ( Persatuan Islam Tawau ) yang dipimpin oleh Abdul Karim Hj Abdul Rahman dalam menjaga kebajikan orang-orang Melayu Islam di Tawau.

Penghulu Abu Bakar meninggal dunia pada tahun 1953 ketika berusia 54 tahun. Jawatan beliau sebagai Penghulu digantikan oleh Penghulu Zainal Kerahu iaitu sepupu kepada isteri beliau sendiri. Manakala ketika penubuhan USNO pada tahun 1961, anak didik beliau , Titingan bin Damsani yang juga menantu kepada abang beliau dilantik sebagai Pengerusi USNO Tawau . ( Datuk Titingan kemudiannya dikenali sebagai Datuk Abu Bakar Titingan mengambil sempena nama beliau ). Selepas ketiadaan Penghulu Abu Bakar, Datuk Abu Bakar Titingan dan Penghulu Zainal adalah dua orang pemimpin Melayu Tawau yang berwibawa dan berjasa kepada masyarakat Melayu Tawau. Kini terdapat sebuah jalan utama di Tawau mengambil nama beliau sempena memperingati jasa-jasa beliau yang tidak terhingga kepada anak bangsa yang disayanginya.